Geram kan tengok pokok bunga kertas orang dalam satu pokok ada pelbagai warna. Nak beli, harganya bukan main berpinar mata. Menggigil duit keluar dari poket. Tapi kalau dah minat, apa pun sanggup kan.
Sebenarnya, tidak lah susah untuk hasilkan pokok bunga kertas pelbagai warna. Ada 3 teknik kahwin atau cantuman pokok bunga kertas untuk hasilkan pelbagai warna.
Cantuman Baji
Ini antara teknik yang sentiasa menjadi pilihan kepada pembiak, pengusaha mahupun peminat bunga kertas. Teknik ini lebih mudah dan 80% berhasil. Ia menggunakan pucuk yang muda dari jenis berbeza dicantumkan pada pucuk penanti yang merupakan pokok utama melalui belahan pada ranting pucuk. Lebih mudah, anda tengok video yang disediakan.
Cantuman Sisi
Teknik ini menjadi pilihan pengusaha dan peminat bunga kertas di Thailand. Ia merupakan teknik yang sedikit sukar kerana perlu melakukan cantuman pada bahagian batang kulit atau dahan yang telah matang.
Selain itu juga, teknik ini berisiko memberi ancaman penyakit kepada pokok terutamanya jika bahagian kulit yang dipotong untuk tujuan cantuman tadi tidak dijaga baik. Tapi yang menariknya, teknik ini sesuai untuk dilakukan pada bahagian akar pokok. Ini bersesuaian untuk peminat bonzai yang kerap mereka bentuk dan ingin memberi kelainan kepada pokok bunga kertas mereka.
Tapi jika kedua-dua teknik ini masih gagal, pilihan terakhir adalah dengan menggunakan teknik gabungan
Gabungan
Kaedah ini perlu dilakukan ketika pokok masih kecil maupun muda. Dalam satu pasu ditanam beberapa jenis atau warna bunga kertas secara rapat. Perlahan-lahan batang yang lembut di didik untuk melentur supaya kedudukan bunga yang dihasilkan tersusun secara harmoni. Nanti tidak ada lah sebelah warna putih, sebelah warna kuning dan sebelah lagi warna ungu.
Nak nampak ia macam pelbagai warna bercampur anda perlu tentukan arah pergerakan melalui lenturan dahan dan batang pokok. Untuk mengekalkan posisi lenturan tersebut, ikat dengan pita pertanian. Bila dah besar, pokok bunga kertas tadi akan kelihatan seperti satu.