Reka Teemor, nama yang tidak asing lagi untuk industri hiasan dalaman. Mula bertapak sejak 2006, pelbagai anugerah telah digalas menyebabkan Reka Teemor sentiasa menjadi perhatian bukan sahaja di dalam industri dalaman, malah kini lebih aktif sebagai perancang perkahwinan. Sentuhan magis Faizal Sabari dan Rozana Mumtaz sentiasa menjadi idaman pasangan mempelai. Jika sebuah dekorasi tidak kira interior mahupun majlis perahwinan yang mendapat sentuhan pasangan ini, pastinya membuatkan mata yang melihat hilang kata-kata, bagaimana pula dengan keindahan kediaman mereka ya?
Untuk edisi raya kali ini, IMPIANA diberi peluang berkunjung ke kediaman pemilik Reka Teemor yang terletak di Shah Alam. “Asal struktur kediaman ini adalah dari Batu Pahat dan ia merupakan rumah pusaka dari nenekanda yang mengetengahkan nilai senibina rumah limas Johor,” kata pemilik untuk pengenalan. Keseluruhan struktur diperbuat daripada kayu dan menggunakan sistem tanggam serta pasak menyebabkan ia boleh dibuka untuk tujuan memudahkan jika ingin beralih ke lokasi berlainan.
Namun, untuk memastikan nilai terdisional pada struktur asal tidak terlalu lapuk, pemilik menggabungkan senibina kolonial agar ia kelihatan lebih segar. Menyerlahkan lagi struktur dan interior kediaman ini, pemilik telah memberi tatapan rona monokromatik agar ia sentiasa kelihatan segar dan tidak sarat apabila terkandung himpunan koleksi pemilik. ”
Tambahan, rona tenang seperti putih dan beige dapat memberi ketenangan vibrasi rona ketika menghias pelamin,”jelas pemilik. Dari fasad, sudah jelas menunjukkan nilai arkitektural yang masih terpelihara seperti pada bahagian bumbungnya dan daun tingkap. Rekaan bumbung bertebar layar di lengkap dengan tunjuk langit namun tidak di padankan pula kerawang bagi mengetengahkan gaya kolonial. Pemilihan atap genting amat sesuai buat iklim Malaysia yang panas dan lembap sepanjang tahun. Ia menjadikan kediaman ini sejuk dan nyaman.
Jom lihat kediaman ini dalam aplikasi 360?