Terdapat pelbagai cara untuk menghias kediaman anda sama ada menyesuaikan susunan perabot dengan pelan ataupun memilih warna cat yang bertepatan dengan konsep rumah agar selesa dan nyaman didiami. Sudah tentunya setiap orang mempunyai citarasa dan kepentingan yang tersendiri dari segi rekabentuk perabot, konsep dan flow yang ingin ditonjolkan oleh kerana itu kita perlu pastikan betul betul yang mana paling sesuai untuk diterapkan pada kediaman masing-masing.
Seperti pemilik rumah pangsapuri 900 kaki persegi, Puan Norazurra Aziz yang memilih konsep minimalis untuk teratak kecilnya yang terletak di Batu Caves, Selangor. Rumah ini dilengkapi 3 bilik serta 2 bilik air dan ruang balkoni yang cukup untuk tuan rumah bergerak bebas tanpa berasa sempit dan sesak. Mengambil masa lebih kurang 6 bulan untuk dihias dengan sempurna dengan kos keseluruhan sebanyak RM50k, Puan Norazzura memilih untuk menggunakan bilangan perabot yang minima serta cat berwarna terang seperti putih agar ruang yang sempit kelihatan lebih luas dan lapang.
Dengan berbekalkan gambar-gambar hasil perkongsian tuan rumah, IMPIANA dapatlah meninjau-ninjau kediaman kecil yang cantik dan selesa ini.