Kata Pakar Guna Pilihan Warna Ni Untuk Membentuk Suasana Lebih Tenang Dan Bahagia Dalam Kediaman

Share

Warna bukan hanya sekadar pengalaman visual. Ia dilihat sebagai salah satu bentuk komunikasi yang membolehkan manusia menyerlahkan personaliti dan perwatakan. Selain itu, warna juga merupakan salah satu cabang psikologi yang boleh mempengaruhi mood dan emosi seseorang.

Sudah tentu saja, reaksi terhadap setiap warna adalah subjektif bergantung kepada individu, tetapi secara umumnya, beberapa jenis warna menghasilkan tindak balas yang lebih spesifik. Warna-warna hangat seperti merah, kuning dan oren boleh menghasilkan perasaan panas atau agresif, manakala warna sejuk seperti hijau dan biru boleh menenangkan atau melambangkan melankolik.

Warna yang dipilih untuk setiap ruang dalam rumah akan mencerminkan keperibadian anda. Walaupun kebanyakan dari kita mungkin tidak menghabiskan banyak masa berfikir tentang warna cat dinding dan menganggap ianya perkara yang remeh, sebenarnya pemilihan warna yang tepat boleh memberi kesan kepada mood

dan perasaan kita setiap hari.

Tidak perlu bimbang dan terlalu mengejar trend semasa untuk mempunyai rumah yang indah. Trend atau gaya hiasan dalaman akan sentiasa datang dan pergi. Pemilik kediaman yang bijak akan memastikan proses pemilihan warna cat dinding dan aksesori dilakukan dengan teliti dan berhati-hati agar ruang kelihatan sepadan dengan personaliti serta gaya hidup seseorang..

BIRU

Warna ini boleh menurunkan tekanan darah dan menstabilkan pernafasan, oleh kerana itu biru dianggap warna yang menenangkan, santai dan tenang. Paling sesuai digunakan di bilik tidur dan bilik mandi, biru pastel cantik apabila dipadankan dengan warna warm agar ruang tidak kelihatan terlalu ‘sejuk’.

MERAH

Merah melambangkan keyakinan, kegembiraan dan tenaga. Pilihan yang sesuai jika anda ingin membangkitkan keseronokan, terutamanya pada waktu malam. Penggunaan warna ini di ruang tamu atau ruang makan, dapat merangsang perbualan ataupun perasaan lapar. Di pintu masuk pula, merah boleh memberikan impak dan first-impression yang berkekalan.

KUNING

Kuning memberi perasaan gembira dan bahagia ibarat cahaya matahari yang bersinar. Ia adalah pilihan yang sangat baik untuk dapur, ruang makan dan bilik mandi, di mana ia dapat menaikkan semangat. Dalam ruangan yang kecil pula, penggunaan warna kuning dapat memberikan perasaan luas dan mesra. Walaupun kuning merupakan warna ceria, ia bukan satu pilihan yang baik untuk skim warna utama. Kajian menunjukkan bahawa orang akan lebih cenderung untuk hilang sabar di kawasan yang dipenuhi kuning.

HIJAU

Hijau menenangkan dan menyejukkan  mata. Menggabungkan kualiti menyegarkan biru dan keriangan kuning, hijau adalah warna yang sesuai untuk mana-mana bilik di rumah. Hijau juga mempunyai kesan menenangkan apabila digunakan sebagai warna utama untuk menghias. Ia juga dipercayai dapat membantu dalam isu kesuburan.

UNGU

Ungu yang gelap akan menjadikan ruang tampak kaya, dramatik dan sofistikated. Ia juga dikaitkan dengan kemewahan dan kreativiti yang dapat merangsang imaginasi. Bagi ungu yang lebih lembut seperti lavender pula, ia membawa kualiti yang sama seperti warna biru muda. Memberi ketenangan dan kenyamanan.

OREN

Warna ini membangkitkan semangat dan merupakan warna bertenaga. Walaupun bukan idea yang baik untuk ruang tamu atau untuk bilik tidur, warna ini mungkin sesuai digunakan pada ruang yang memerlukan produktiviti. Warna oren akan membawa keluar semua emosi yang anda perlukan ketika sedang bekerja mahupun bersenam. Dalam budaya masyarakat purba, oren dipercayai boleh membantu menyembuhkan paru-paru dan meningkatkan tahap tenaga.

NEUTRAL (PUTIH, HITAM, KELABU DAN COKLAT)

Warna-warna ini merupakan asas bagi semua teknik menghias rumah. Warna hitam yang digunakan dalam kuantiti yang kecil sesuai menjadi accent ruang. Malah, ada pakar berpendapat bahawa setiap bilik memerlukan sentuhan hitam kerana warna ini dapat memberikan ruang lebih karakter.

Putih pula sudah sinonim dengan kesucian dan kebersihan. Menjadikannya warna pilihan selamat bagi mereka yang masih tidak berani bermain warna. Kelabu klasik, elegan dan sesuai dipadankan dengan semua warna. Sesiapa yang sukakan kelabu adalah seorang yang bijak dan berdisiplin. Warna coklat pula mewakili alam sekitar, keselamatan dan kepuasan. Sesiapa yang memilih coklat cenderung untuk sukakan alam semula jadi, kesederhanaan dan keselesaan.

 

 

Published by
Amalina